Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi amaran kepada semua pihak agar tidak lagi mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mempertikaikan hak dan keistimewaan kaum itu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tegas Perdana Menteri, apa yang termaktub dalam Perlembagaan telah membolehkan kerajaan memerintah dan membina sebuah negara yang adil serta saksama untuk semua kaum.
Beliau berkata, cubaan mempersoalkan dasar untuk membantu orang Melayu dan bumiputera tidak sepatutnya berlaku lagi kerana golongan itu tidak pernah mempersoalkan apa yang diperolehi kaum lain.
"Orang Melayu tidak pernah menjadi bangsa yang rasis dan bersikap pelampau kerana sejak merdeka orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dan memberi apa yang (dirasa) adil kepada mereka (bukan Melayu).
"Orang Melayu telah menghulur tangan kepada orang bukan Melayu untuk membina sebuah negara yang aman, bersatu dan lebih makmur serta mengamalkan wassatiyyah (kesederhanaan) sejak dulu lagi.
"Jadi jangan sesekali cuba mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mengubah apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Apa yang sudah kita rundingkan waktu merdeka dulu, perkara ini akan dipertahankan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Perdana Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida): Sepetang Bersama Perdana Menteri di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Perhimpunan yang dihadiri lebih 10,000 orang terdiri daripada pemimpin dan ahli Pekida turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Pengerusi Pekida, Jamaludin Yusof dan Timbalannya, Datuk Ramli Norani.
Perdana Menteri turut menyelar cubaan memburuk-burukkan imej dan peribadi pemimpin BN antaranya dengan menghina warna kulit seperti 'hitam metalik' dan sebagainya.
Hakikatnya kata beliau, mereka datang daripada golongan anak nelayan, anak petani yang susah tetapi berusaha keras sehingga berjaya menjadi pemimpin.